mutakhir

Jangan kutip pemimpin 'katak'...

Oleh Syed Umar Ariff dan Rizanizam Abdul Hamid

DAP Selangor mengingatkan Perdana Menteri supaya tidak mengambil pemimpin "katak", merujuk kepada ahli UMNO Sabah yang keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu berkata, beliau juga pernah mendengar Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar pemimpin UMNO sebagai “tidak berguna” dan “sampah” sewaktu pertemuannya dengan beberapa aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO), sebelum ini.

“Adakah Dr Mahathir masih ingat pertemuannya dengan beberapa aktivis dan NGO menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) apabila beliau memberi jaminan ketika itu tidak akan menerima ‘katak’ daripada UMNO.

“Saya masih ingat lagi, kerana saya berada di sana bersama-sama (P) Waytha Moorthy. Ya, Waytha Moorthy yang kini sudah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan menerusi blog patreon.com hari ini.

Semalam, UMNO Sabah menerima tamparan hebat apabila sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), empat Ahli Parlimen, dua Senator dan 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah bertindak meninggalkan parti itu.

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 14 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Mereka termasuk sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Turut sama ialah empat Ahli Parlimen iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran).

Dua lagi Senator ialah Datuk John Ambrose yang juga Ketua UMNO Bahagian Penampang serta Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin yang mengetuai UMNO Bahagian Pensiangan.

Ahli Parlimen Sipitang, Hafez Yamani Musa, yang belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, turut menyuarakan hasrat keluar UMNO untuk bersama kumpulan terbabit.

Mengulas lanjut, Liu yang juga ADUN Sungai Pelek berkata, beliau juga berharap Perdana Menteri tidak akan menjadi pengutip sampah dengan cara membawa pemimpin UMNO serta yang lain menyertai BERSATU.

"Dr Mahathir juga akan dilihat sebagai pengkhianat kepada pengundi pada PRU-14 yang berhasrat menumbangkan kerajaan diketuai UMNO, sekiranya membawa “katak” dari Sabah yang meninggalkan UMNO semalam.

“Jangan katakan kepada saya sekarang ini beliau mahu mereka masuk semula ke dalam kerajaan melalui pintu belakang BERSATU," katanya.

Jelasnya, beliau juga sedar BERSATU hanya mempunyai beberapa Ahli Parlimen sahaja, berbanding DAP dan PKR namun itu bukanlah alasan Pengerusi BERSATU bertindak sedemikian.

“Saya yakin pada masa hadapan, BERSATU boleh menang lebih banyak kerusi tetapi bersabarlah.

"Kenapa mahu cepat menambah keahlian dengan cara begini. Ini bukanlah cara yang betul,” katanya.

Berita berkaitan

Tuduhan terhadap Hishammuddin tidak berasas

[UPDATE] UMNO Sabah tidak dibubar

[UPDATE] Mahu tempoh bertenang...

'Ini bukan keputusan peribadi...' - Azizah

UMNO Sabah 'berkubur'...? [METROTV]

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 3:38pm
d