mutakhir

2 polis antara 7 cedera [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

TUJUH individu termasuk dua anggota polis cedera selepas bas ekspres dinaiki dirempuh treler di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Terowong Menora, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, tujuh mangsa termasuk dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar cedera namun identiti semua mangsa masih belum dikenal pasti.

Difahamkan, pemandu bas dan pemandu treler muatan simen itu turut mengalami kecederaan.

Kemalangan itu mengakibatkan kesesakan teruk sehingga lapan kilometer di kedua-dua arah berikutan semua laluan di lokasi kejadian terhalang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati treler dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari arah selatan menghala ke utara sebelum hilang kawalan dan terbabas.

Katanya, susulan itu treler berkenaan merempuh pembahagi jalan di bahagian tengah lebuh raya dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres yang dalam perjalanan ke selatan.

"Akibat kemalangan itu, tujuh individu cedera termasuk dua anggota polis iaitu seorang anggota wanita berpangkat Sarjan yang dalam perjalanan untuk menunaikan umrah manakala seorang lagi anggota lelaki berpangkat Konstabel dalam perjalanan untuk pulang bercuti ke kampung di Sabah.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut dan polis masih mendapatkan identiti semua mangsa yang cedera," katanya ketika dihubungi di Kuala Kangsar, hari ini.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, polis membuat laluan alternatif di susur keluar Kuala Kangsar dari arah utara bagi menghalakan kenderaan melalui Jalan Persekutuan untuk perjalanan ke selatan.

Sementara itu, PLUS di laman Twitter, 5.18 petang tadi menyebut lorong tengah dan kanan lebuh raya menghala ke selatan dibuka semula susulan semua lorong terhalang akibat kemalangan itu.

"Trafik arah selatan bergerak perlahan sepanjang 15 kilometer manakala bagi laluan arah utara perlahan sepanjang 12 kilometer (km)," katanya.

Gambar Abdullah Yusof

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 7:31pm
d