mutakhir

Air mata mengucap syahadah [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah

MEREDAH hutan tebal, bentuk muka bumi ekstrim dan melintasi tujuh anak sungai antara cabaran ditempuh aktivis International Relief And Humanitarian Outreach (I -Reach) dalam jihad mengislamkan 101 penduduk etnik Ta' Waana di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Meskipun berdepan pelbagai dugaan sepanjang 40 kilometer (km) perjalanan, aktivis akhirnya merasa kemanisan dakwah selepas proses syahadah kepada etnik berkenaan Isnin lalu, berjalan lancar dan diselesaikan tanpa sebarang masalah.

Pengarah I-Reach Johan Ariff Ismail berkata, dengan bantuan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia, pihaknya berjaya menjejak etnik berkenaan ketika tragedi tsunami melanda Palu, baru-baru ini.

Beliau berkata, wakil komuniti berkenaan tampil berjumpa dengan NGO tempatan bagi menyatakan hasrat untuk memeluk Islam selepas terhalang sejak sekian lama.

Katanya, perkampungan etnik Ta’Waana terletak di Dusun Padang Kalang, kira-kira 150 km dari Bandar Luwuk, Sulawesi Tengah.

“Penempatan itu jauh di tengah belantara, berikutan itu kewujudan mereka seolah-olah tidak disedari. Sebelum ini mereka tidak beragama dan sangat teruja untuk memeluk Islam.

“Kami dimaklumkan, usaha dakwah tidak sampai kepada mereka selama ini. Selepas mengucapkan dua kalimah syahadah ada dalam kalangan mereka ini menitiskan air mata, suasana ketika itu amat sayu,” katanya.

Johan Ariff berkata, majlis pengislaman itu membabitkan 47 lelaki, 37 perempuan, 10 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

Terdahulu, kesemua yang terbabit mendapat bimbingan daripada tujuh pendakwah selama tiga bulan.

Menurutnya, I-Reach turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga saudara baru membabitkan makanan asas seperti beras dan gula bagi meringankan beban.

“Ini adalah pengalaman baru kerana mereka ini etnik hidup dalam kelompok terasing jauh di dalam hutan tebal pergunungan Batui, sepanjang Sungai Bongka.

“Alhamdulillah, semua sudah selesai, kini adalah proses untuk memastikan mereka tetap dengan pendirian bersama agama baru.

“Difahamkan etnik ini kerap diganggu kumpulan ekstremis agama menyebabkan mereka lebih selesa membawa diri jauh ke dalam hutan untuk hidup,” katanya.

Disiarkan pada: December 13, 2018 @ 9:26pm
d