mutakhir

Pesara polis maut kemalangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PESARA polis maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan dengan motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di di jalan hadapan Masjid Kandis, di Jitra, 7.40 malam, semalam.

Mangsa, Abdul Ghani Awang, 71, disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika kejadian, MPV Nissan Grand Livina dipandu seorang wanita berusia 44 tahun dari arah Kodiang menghala ke Jitra berada di laluan kanan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa secara tiba-tiba dari sebelah kiri jalan melintas di hadapan MPV yang dipandu wanita itu.

Menurutnya, ia menyebabkan pemandu MPV tidak dapat mengelak kerana jarak yang dekat.

“Akibatnya berlaku perlanggaran pada sisi kanan motosikal menyebabkan mangsa melambung dan kemudian jatuh, manakala motosikalnya terpelanting dan berada di laluan kiri.

“Ketika itu, datang sebuah lagi motosikal yang ditunggangi Abdul Aziz Ishak, 54. Dia cuba mengelak motosikal mangsa, namun gagal sebelum motosikalnya yang ditunggang termasuk ke dalam longkang di kiri jalan, “katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemandu MPV yang menetap di Santan, Perlis itu tidak mengalami kecederaan, manakala Abdul Aziz pula hanya mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital yang mangsa meninggal dunia di wad kecemasan HSB malam semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 9:50am
d