mutakhir

Mangsa banjir di Pahang meningkat

Oleh Amin Ridzuan Ishak

MANGSA banjir di Pahang terus meningkat kepada 435 orang, jam 8 pagi ini, berbanding 194 orang dicatatkan malam semalam.

Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir, berbanding empat PPS, semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, jumlah mangsa paling ramai adalah di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating dengan 128 orang daripada 33 keluarga.

Beliau berkata, ia diikuti SK Kempadang (77 orang, 18 keluarga) dan SK Sungai Karang (64 orang, 21 keluarga).

“PPS SK Beserah pula menempatkan 63 orang, 17 keluarga; SK Sungai Isap Murni (47 orang, 9 keluarga), Dewan Orang Ramai Balok (31 orang, lima keluarga) dan SK Sungai Ular (25 orang, tujuh keluarga),” katanya, hari ini.

Beliau berkata, beberapa kawasan di daerah ini mula dinaiki air sejak awal pagi semalam, berikutan hujan berterusan sejak malam kelmarin.

Sehubungan itu, pihaknya akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat diberikan pihak berkuasa.

Sementara itu, setakat 7 pagi, tujuh sungai utama di Kuantan menunjukkan satu daripadanya mencatatkan paras waspada iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dengan 4.98 meter (m), melebihi had paras waspada 4.6 m.

Sungai lain pula masih pada paras normal iaitu Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (26.96 m), Sungai Lembing (28.33 m) dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau (17.16 m), Kuantan Bypass (0.61 m), Sungai Belat di Sri Damai (2.7 m) dan Sungai Cherating (2.25 m)

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 10:15am
d