mutakhir

'Ahmad Zahid gagal'

Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Fahmy Azril Rosli

ENAM Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti hari ini mendesak Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mewakili mereka berkata, Ahmad Zahid gagal memikul tanggungjawab sebagai presiden walaupun UMNO sedang menghadapi masalah mendapatkan kepercayaan dan keyakinan ahli dan rakyat khususnya orang Melayu.

Beliau berkata, jika Ahmad Zahid enggan, akan berlaku gelombang ketiga untuk ahli parlimen keluar daripada parti selepas empat orang ahli parlimen dari Sabah berbuat demikian dua hari lalu.

"Kami berpendapat Ahmad Zahid gagal menetapkan hala tuju parti dalam keadaan sekarang dan wajar bagi beliau melepaskan jawatan.

"Ia juga berkaitan dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Ahmad Zahid menyebabkan ahli dan rakyat khususnya Melayu tidak yakin dengan kepemimpinan beliau untuk membawa UMNO menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya dalam pertemuan ekslusif bersama NSTP di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga berkata, kumpulan keluar parti hari ini, seperti juga ahli parlimen UMNO kelmarin menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk kepentingan negara dan rakyat.

Ditanya mengenai gelombang ketiga itu, beliau difahamkan 10 lagi ahli parlimen akan berbuat demikian jika Ahmad Zahid terus kekal sebagai presiden dalam tempoh 10 hari akan datang.

Bagaimanapun, Hamzah berkata, mereka belum membuat keputusan mengenai masa depan politik masing-masing termasuk sama ada menyertai mana-mana parti politik termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, buat masa ini mereka hanya mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan dan UMNO boleh mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk memilih presiden dan barisan kepemimpinan yang baharu.

Hamzah antara enam Ahli Parlimen UMNO yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa hari ini.

Lima orang yang lain adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Berita berkaitan:

  • Enam lagi ahli Parlimen keluar UMNO
  • Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 4:52pm
    d