mutakhir

Lebih ramai dapat bantuan

Oleh Nor Farhani Che Ad

KESEMPITAN hidup tidak menjadi alasan buat seorang nenek dari Flat Paya Nahu, Sungai Petani untuk memberi pendidikan yang terbaik buat cucunya.

Sebaliknya, Che Rokiah Ahmad, 58, menggunakan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan sebaik mungkin, di samping pendapatannya mengasuh seorang anak jirannya dengan upah RM20 sehari bagi menyara empat cucunya Alia Syafiqah Abdullah, 13; Alia Syarlyn, 10; Mohd Akif Irfan, 6; dan Alia Syerilna, 4.

“Sebelum ini mereka tinggal bersama dengan ibu mereka yang juga seorang ibu tunggal. Memandangkan ibu mereka tiada pendapatan tetap, cucu saya tidak dapat ke sekolah kerana masalah kewangan.

“Saya nekad untuk membawa empat cucu tinggal bersama dan menyara mereka dengan memberi pendidikan yang secukupnya,” katanya yang ditemui pada Program ‘Back To School’ (BTS) 2019 anjuran Muslim Care Malaysia di Pasaraya Mydin Taman Batik, Sungai Petani, hari ini.

Cucunya iaitu Alia Syarlyn adalah seorang daripada 110 penerima bantuan kelengkapan persekolahan yang disumbangkan menerusi program berkenaan.

Mereka yang ingin membantu Rokiah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Rokiah.

Sementara itu, Muslim Care Malaysia mensasarkan 2,000 penerima bantuan di bawah program BTS yang dijalankan di sembilan negeri di seluruh negara tahun ini.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Rashdan Ikhsan berkata, BTS adalah aktiviti tahunan Muslim Care Malaysia dalam membantu menyalurkan bantuan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak daripada keluarga asnaf dan juga mualaf hasil kutipan sumbangan daripada masyarakat.

Katanya, peningkatan jumlah sumbangan melalui dana badan korporat menjadikan penerima program pada tahun ini meningkat sebanyak 1,000 orang berbanding tahun lalu.

“Kami bersyukur, dana yang diterima kali ini dapat disumbangkan kepada lebih ramai penerima dan kami harap orang ramai dapat terus menyumbang bagi membantu lebih ramai golongan yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank atas nama Muslim Care Malaysia bernombor 564490413882 dan slip sumbangan bolehlah dihantar kepada saya di talian 017-3333881 untuk makluman kami,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 6:04pm
d