mutakhir

MAINJ bantu Halilah

Oleh Mary Victoria Dass

PENDERITAAN seorang pesakit barah usus dan perut tahap empat, Halilah A Kadir, 53, mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang tampil menghulurkan bantuan, hari ini.

Wakil jejak asnaf MAINJ, Mohd Nasir Ishak berkata, pihaknya menjejaki ibu tunggal kepada tiga anak itu selepas akhbar menyiarkan berita kesusahan hidup mereka, 3 Disember lalu.

Menurutnya, MAINJ mendapati wanita yang berasal dari Lima Kedai, Gelang Patah, kini tinggal bersama kakak kandungnya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, selepas hilang upaya untuk bekerja.

Katanya, keadaan itu menimbulkan kesulitan kerana dia masih perlu menyara tiga anak berusia antara 12 hingga 21 tahun.

“Anak bongsunya akan memasuki tingkatan satu Januari ini, manakala dua anak lelaki masing-masing berusia 19 dan 21 menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“MAINJ akan memproses bantuan perubatan dan perbelanjaan pembelian susu khas disyorkan doktor bagi membolehkan wanita itu meneruskan kehidupannya.

“Pada lawatan hari ini kami menyumbang barangan runcit dan bantuan segera RM200 bagi meringankan beban wanita berkenaan,” katanya ketika menyampaikan sumbangan kepada Halilah di Puteri Wangsa, Johor Bahru, hari ini.

Pada 3 Disember lalu, Harian Metro melaporkan Halilah bimbangkan masa depan anak-anaknya kerana dia kini terlantar akibat kanser usus dan perut menyebabkannya tidak boleh bekerja sejak bulan lalu.

Selain itu, ibu tunggal berkenaan bingung memikirkan bagaimana mahu menyediakan pelbagai kelengkapan dan membayar yuran sekolah anak bongsu, Nurhidayah Murad, 12.

Sebelum ini, Halilah pernah memohon bantuan MAINJ dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan sesuai bagi meringankan bebannya.

Buat masa ini dia hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga bagi meneruskan hidup termasuk membeli susu khas disyorkan doktor iaitu RM140 untuk dua tin selama seminggu.

Orang ramai boleh salurkan sumbangan kepada Halilah menerusi akaun Maybank miliknya di 151306694927.

Berita berkaitan:

  • Anak sumber kekuatan ibu hidap barah
  • Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 6:59pm
    d