mutakhir

Rosol masuk BERSATU

Oleh Baharom Bakar

AHLI Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dijangka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas lebih dua jam mengumumkan keluar daripada UMNO dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Rosol yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, borang permohonan akan diserahkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, Isnin ini.

"Saya baru dimaklumkan permohonan saya untuk menyertai BERSATU sudah diluluskan dan akan menyerahkan borang di lokasi akan ditetapkan Isnin ini," katanya kepada NSTP di Kuala Terengganu, hari ini.

Rosol yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil dan bekas EXCO Kerajaan negeri, berkata, keputusannya menyertai BERSATU dibuat selepas mengambil kira kebajikan dan keperluan rakyat di Parlimen Hulu Terengganu yang memerlukan pembelaan.

Katanya, penyertaannya dalam BERSATU juga dibuat bagi membantu Perdana Menteri memperkukuhkan kedudukan masyarakat Melayu dan Islam.

"Semoga penyertaan saya dapat membantu Tun Dr Mahathir untuk mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, selain meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan," katanya.

Ketika mengulas pelbagai kritikan diterima selepas dua jam mengumumkan keluar dari UMNO dan menjadi anggota Bebas, Rosol berkata, sebagai seorang ahli politik kritikan sudah menjadi asam garam.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 7:37pm
d