mutakhir

Pelajar maahad tahfiz maut

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PELAJAR tahfiz berusia 17 tahun maut manakala rakannya parah setelah motosikal dinaiki mereka bergesel dengan sebuah lori membawa muatan pasir di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan di Bota, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, Miqdad Muhammad yang membonceng motosikal Yamaha LC meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Rakannya yang juga penunggang motosikal itu yang berusia 17 tahun mengalami kecederaan dalaman manakala pemandu kenderaan berat terbabit yang berusia 54 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa adalah pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama Lambor Kanan.

Menurutnya, mangsa membonceng motosikal bersama rakannya dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Lekir.

“Siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki dua remaja terbabit dari arah Bota Kanan dan dipercayai hendak pulang ke rumah di Lekir.

“Manakala lori berkenaan dari arah Kampung Gajah menghala ke Bota. Apabila tiba di lokasi kejadian di jalan berselekoh dipercayai motosikal terbabit bergesel dengan lori itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan motosikal berkenaan jatuh ke jalan dan terseret kira-kira tiga meter.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan dalaman manakala pemboncengnya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan penunggang motosikal menerima rawatan di hospital sama,” katanya.

Katanya, keadaan jalan di lokasi kemalangan adalah berselekoh, permukaan jalan pula basah akibat hujan di laluan garisan tengah berkembar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 8:05pm
d