mutakhir

Rezeki cendawan di kebun getah

Oleh BERNAMA

KETIDAKTENTUAN harga getah di pasaran menyebabkan seorang penoreh bertindak kreatif untuk menjana pendapatan tambahan dengan mengusahakan tanaman cendawan Volvariella di kebun getahnya di Kampung Musa, Mukim Pedu, Padang Terap.

Ismail Ibrahim, 62, berkata, sejak mula mengusahakan cendawan itu dua tahun lalu, beliau kini mampu menjana pendapatan tambahan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan di samping pendapatannya sebagai penoreh sekitar RM1,000 sebulan.

“Saya mengusahakan cendawan ini sebab tidak mahu bergantung kepada hasil getah lagi yang mana harganya tidak naik-naik iaitu sekitar RM2.10 sekilogram ketika ini, selain menyahut seruan kerajaan agar pekebun mencari alternatif untuk menjana pendapatan tambahan.

Saya cadangkan tanaman ini dimanfaatkan pekebun kecil getah lain kerana selain harganya yang tinggi dan tidak banyak saingan, ia juga amat mudah diusahakan kerana hanya menggunakan bahan buangan daripada pokok kelapa sawit,” katanya kepada Bernama di Padang Terap, hari ini.

Selain itu, menurut Ismail penjagaan tanaman itu juga tidak rumit dan hanya memerlukan masa dua bulan untuk mendapat hasil iaitu bulan pertama melibatkan proses penyediaan medium tanaman dan menabur benih dan bulan seterusnya mengutip hasil pada setiap hari.

Beliau berkata, pada masa ini cendawan Volvariella dijual pada harga RM10 sekilogram secara ladang dan RM15 sekilogram secara runcit dan beliau menerima banyak permintaan terutama dari pihak restoran dan penduduk kampung.

Katanya, projek tanaman cendawan itu yang diusahakan dengan modal permulaan hanya RM1,000 kini mampu menghasilkan antara 15 hingga 20 kg cendawan setiap hari.

Memandang potensinya yang cukup baik untuk menjana pendapatan, Ismail bercadang untuk meluaskan lagi tanaman cendawan itu di kebun getahnya yang berkeluasan 0.3 hektar, mulai awal tahun depan.

“Alhamdulillah, Jabatan Pertanian Daerah Padang Terap juga banyak membantu memberi khidmat nasihat dan sokongan dalam bentuk bantuan peralatan serta memperkenalkan cendawan ini di pelusuk negeri yang menjamin pendapatan tambahan kepada pekebun dan penoreh getah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Padang Terap, Mohamad Yuzaidi Azmi ketika dihubungi Bernama berkata, tanaman cendawan Volvariella itu mula diperkenalkan pada 2015 kepada pekebun-pekebun kecil getah di sini sebagai tanaman altenatif untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, sehingga kini terdapat 12 pengusaha yang aktif mengusahakan cendawan itu di daerah ini dan meraih pendapatan yang baik untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya syorkan agar pekebun yang berminat supaya datang berjumpa dengan pegawai di Pejabat Pertanian daerah ini untuk berbincang sebelum mengusahakan tanaman ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2018 @ 11:39pm
d