mutakhir

Rafizi minta Khairy jangan lompat

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BEKAS naib presiden PKR, Rafizi Ramli mahu Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kekal dalam UMNO di sebalik kemelut melanda parti itu ketika ini.

Melalui surat terbuka ditujukan khas buat Khairy yang disapa ‘saudara’, Rafizi berharap dengan itu bekas Ketua Pemuda UMNO itu dapat terus bersuara dan menjadikan parti itu sebagai pembangkang yang berkesan.

Beliau berkata, Khairy kini menjadi harapan ramai orang muda yang mahu melihat politik Malaysia yang lebih baik di masa hadapan.

“Tujuan saya menulis surat kepada saudara ialah untuk meyakinkan saudara untuk kekal berada di dalam UMNO kerana saya percaya rakyat dan negara memerlukan barisan pembangkang yang cekap, cerdik, jujur, amanah dan ikhlas.

“Sebuah kerajaan yang terlalu kuat kerana pembangkangnya lemah akan terdorong ke arah pelbagai salah guna kuasa. Kita sudah melaluinya selama 61 tahun,” katanya dalam surat terbuka itu.

Menyifatkan surat itu akan menyebabkan dirinya kini dituduh menyokong UMNO, Rafizi memahami kesan daripada tindakan beramai-ramai Ahli Parlimen UMNO keluar terhadap Khairy dan ahli parti itu.

Katanya, kekalahan UMNO walaupun perit diterima pemimpin dan penyokong, memberi peluang kepada parti itu untuk berubah dan mengambil iktibar daripadanya.

“Walaupun berita Ahli Parlimen UMNO keluar parti beramai-ramai ini sudah berlegar buat seketika, ia tetap mengejutkan.

“Saya faham kesannya kepada saudara dan rakan saudara di dalam UMNO, kerana kami sendiri pernah melalui ketika ia berlaku kepada Keadilan pada 2010 dahulu,” katanya.

Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan, juga menegaskan tidak bersetuju dengan sebarang tindakan untuk meranapkan mana-mana parti pembangkang.

“Saya mungkin tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan tindakan atau pendapat parti pembangkang, tetapi saya menghargai peri pentingnya parti pembangkang yang berkesan untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

“Beberapa hari, minggu dan bulan yang mendatang mungkin mendung buat saudara dan sahabat-sahabat yang ikhlas ingin membantu rakyat atas platform UMNO.

“Tetapi percayalah, jika saudara berpegang kepada niat untuk berkhidmat dan membela rakyat, pemergian mereka akan menguatkan UMNO dengan syarat pimpinan yang kekal mesti takut kepada Allah, menolak rasuah dan menyeru ke arah persaudaraan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy membalas surat Rafizi secara berseloroh menerusi Twitternya dengan menyatakan “Lain kali bisik la masa lunch. Diva betul open letter ni.”

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 12:07am
d