mutakhir

'Sejenis hobi, agaknya...'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

TIDAK sampai 24 jam, seorang lelaki yang membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin di Tampin, ditahan polis di Rembau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Dato Lela Maharaja, Chembong, pada 10.45 malam.

“Selain penahanan suspek, polis turut merampas sebuah telefon jenis Nokia yang digunakan untuk membuat panggilan palsu itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku membuat panggilan ancaman bom di Hospital Tampin semalam dan Hospital Pakar KPJ Seremban pada 27 November lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati suspek adalah pesakit mental dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Katanya, suspek juga mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Beliau berkata, permohonan reman akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Tampin.

Portal berita semalam melaporkan, seramai 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali, jam 5.50 pagi.

Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pengesan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang ke lokasi melakukan pemeriksaan, tetapi tidak menemui sebarang objek mencurigakan.

Berita berkaitan:

  • Hospital Tampin terima panggilan bom palsu
  • Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 8:53am
    d