mutakhir

Mereka tidak automatik 'suci' - Muhyiddin

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia menerima kemasukan bekas ahli UMNO, namun ia tidak bermakna mereka automatik ‘suci’ daripada sebarang kesalahan yang mungkin didalangi sebelum ini.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika menegaskan perkara itu berkata ahli baharu, termasuk dalam kalangan parti pembangkang yang berumur 18 tahun ke atas berhak memohon menjadi ahli, namun perlu melalui proses tapisan tertentu.

Katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkuasa untuk menentukan status keahlian mereka berdasarkan pelbagai pertimbangan bagi memelihara kepentingan parti, malah permohonan berkenaan mungkin ditolak berikutan sebab munasabah.

“Ia termasuk pembabitan dalam amalan rasuah, salah guna kuasa atau sabitan kesalahan jenayah. Penyertaan dalam BERSATU tidak bermakna seseorang individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terdapat kesalahan yang dilakukan pada masa lalu.

“Dasar ini terpakai untuk semua individu yang berminat untuk menyertai BERSATU, termasuk ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan pemimpin parti pembangkang selepas mengisytiharkan keluar parti.

“Proses saringan dan penelitian akan dibuat secara terperinci dalam menimbang permohonan mereka,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Media melaporkan enam lagi ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa semalam, susulan hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan, diterajui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Muhyiddin berkata, BERSATU tidak mempunyai halangan untuk menerima permohonan keahlian daripada bekas ahli mana-mana parti pembangkang dengan syarat mereka melepasi proses tapisan, selain insaf dan sedar atas kesilapan menyokong pemimpin kleptokrat sebelum ini.

“BERSATU juga tidak terikat untuk menawarkan apa-apa jawatan kepada mereka. Suka saya menegaskan bahawa BERSATU mempunyai dasar, peraturan dan mekanisme sendiri dalam mempertimbangkan kemasukan ahli baharu seperti diperuntukkan perlembagaan parti.

“Sebagai sebuah parti yang demokratik, BERSATU bersedia menerima keahlian mana-mana individu selagi ia selari dasar, peraturan dan mekanisme ditetapkan parti,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 10:52am
d