mutakhir

Kes belasah 'mak nyah' sampai mati: Dua remaja direman

Oleh Norzamira Che Noh

DUA lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pukul yang menyebabkan kematian seorang mak nyah di Bukit Tinggi, Klang, direman lima hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dua suspek berusia 16 dan 17 tahun itu adalah antara empat suspek yang ditahan semalam.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa motif kejadian kes ini adalah mangsa disyaki mencuri telefon bimbit salah seorang suspek yang melanggan mangsa pada November lalu.

"Kes ini tiada kaitan dengan kebencian terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender atau LGBT justeru kami mengharap masyarakat jelas mengenainya dan tidak mengaitkan kes ini dengan LGBT," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, polis berjaya menahan empat lelaki berusia 16 hingga 21 tahun dalam tempoh 24 jam selepas mak nyah berkenaan meninggal dunia dipercayai dipukul dengan senjata tumpul.

Shamsul Amar berkata, dua suspek sudah direman selama enam hari bermula semalam sehingga 19 Disember ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang mak nyah parah selepas dibelasah menggunakan senjata tumpul di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi, Klang, Rabu lalu.

Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan oleh seorang pengawal keselamatan, hotel kira-kira 7 pagi.

Namun, mangsa berusia 32 tahun yang berasal dari Sabah itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada jam 10.47 pagi, kelmarin.

Hasil siasatan bedah siasat juga mendapati terdapat 32 kecederaan pada seluruh badan mangsa.

Mangsa juga mengalami pendarahan yang teruk termasuk di bahagian otak selain serta retak pada tengkorak

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 12:13pm
d