mutakhir

KOMTAR JBCC sedia 'Christmas Big Pool' pertama di Malaysia

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Kemeriahan sambutan perayaan Krismas sudah mula dirasai apatah lagi musim cuti sekolah masih lagi berlangsung sepanjang bulan ini hingga awal tahun depan.

Mengambil kesempatan ruang dan peluang yang ada, pusat beli-belah KOMTAR JBCC tampil memeriahkan suasana dengan menyediakan keseronokan buat seisi keluarga yang berkunjung ke premis berkenaan.

'Christmas Big Pool' seluas 4,000 kaki persegi dengan 200,000 bola mainan berwarna merah dan putih menjadi tarikan yang disediakan KOMTAR JBCC bermula 1 Disember yang lalu.

Bakal ditempatkan di ruang tengah, aras bawah (GF), pusat beli-belah itu setiap hari hingga 2 Januari 2019, ia dibuka seawal jam 10 pagi hingga 9.30 malam.

Pengurus Pemasaran KOMTAR JBCC, Nuha Abdullah berkata, 'Christmas Big Pool' itu diadakan sebagai keseronokan untuk seisi keluarga tidak kira usia tua atau muda bagi meluangkan masa bersama-sama sempena cuti sekolah dan perayaan Krismas ini.

"Kami ingin pengunjung bukan sahaja dapat membeli-belah di sini, tetapi dapat meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga mereka bermain dan merasai keseronokan.

"Jika tahun-tahun sebelum, kita hanya menampilkan dekorasi dan aktiviti pentas setiap kali musim cuti sekolah dan perayaan Krismas, selain gerai-gerai jualan di ruang utama pusat beli-belah ini, namun kali ini, kami bawakan kelainan yang dipercayai bukan sahaja pertama kali dibuat di negeri ini, tetapi juga yang pertama di Malaysia," katanya.

Menurut Nuha, hampir dua minggu penganjurannya, tarikan terbabit berjaya menarik ramai pengunjung bukan sahaja warga tempatan, tetapi rakyat Singapura, terutamanya pada hari minggu.

Katanya, pihak pengurusan pusat beli-belah itu menyasarkan 15,000 pengunjung bakal singgah ke situ sepanjang bulan ini dengan adanya tarikan 'Christmas Big Pool' berkenaan.

Dengan harga berpatutan iaitu RM5 seorang bagi kanak-kanak dan dewasa, manakala kanak-kanak bawah empat tahun adalah percuma dengan setiap orang diberi masa 20 minit bagi setiap sesi untuk bermain dalam kolam bola yang turut menyediakan aktiviti gelongsong, bola gergasi dan pelampung.

Nuha berkata, selain dengan ruang permainan itu, aktiviti lain turut diadakan seperti Bengkel Seni yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad dan layak disertai pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 dalam satu atau dua resit.

"Selain itu, kita juga menawarkan penebusan '2019 Planner' eksklusif yang boleh didapatkan dengan berbelanja RM400 dalam satu atau dua resit.

"Kita juga mengadakan peraduan 'Count Your Santa' yang menawarkan hadiah pakej percutian ke Seoul, Korea; Krabi, Thailand dan Kundasang, Sabah.

"Mereka yang ingin menyertai peraduan ini perlu berbelanja RM100 dalam satu atau dua resit dan pengunjung boleh menghantar seberapa banyak penyertaan," katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 1:00pm
d