mutakhir

Murid OKU mangsa rogol

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MURID perempuan yang juga orang kurang upaya (OKU) menjadi mangsa rogol sepupunya dalam kejadian di Kuala Nerus.

Kejadian menimpa mangsa berusia 10 tahun itu hanya diketahui ibunya, 39, Rabu lalu selepas kanak-kanak malang itu menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada kakaknya, 17.

Menurut sumber, mangsa memaklumkan dia dirogol suspek berusia 14 tahun beberapa kali sebelum ini selain turut mengadu sakit pada bahagian kemaluannya.

Katanya, kakak mangsa yang terkejut dengan cerita adiknya itu segera memaklumkan hal berkenaan kepada ibu mereka.

"Sebaik dimaklumkan kejadian itu, ibu mangsa cuba mendapatkan kesahihan daripada mangsa sebelum dimaklumkan kejadian itu sudah berlaku beberapa kali.

"Mangsa memberitahu suspek merogolnya ketika berada di rumah nenek mereka dan di rumah sewa di Kuala Nerus.

"Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak pada hari yang sama (Rabu) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, suspek berjaya ditahan di rumah di Kuala Nerus, 11.30 pagi kelmarin dan suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 5:10pm
d