mutakhir

Tetamu kenduri redah banjir

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

BIARPUN halaman rumah dinaiki air setinggi 0.3 meter, majlis perkahwinan pasangan pengantin di Kampung Lubuk Pukul Banggul, Binjai, di Kota Bharu tetap berlangsung meriah, hari ini.

Air mula naik di kawasan rumah keluarga pengantin perempuan, Nur Suzana Jalil, 26, pada 5 pagi berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu namun mulai surut 3 petang tadi.

Nur Suzana berkata, majlis perkahwinannya dengan pasangan, Mohd Hafsham Ismail, 31, dihadiri kira-kira 500 tetamu termasuk ahli keluarga, jiran dan penduduk kampung.

“Pada mulanya saya risau kerana air semakin naik memenuhi kawasan rumah, namun proses memasak lauk pauk dengan menggunakan kayu api hasil daripada gotong royong ahli keluarga, jiran tetangga dan penduduk kampung berjalan lancar.

“Disebabkan kawasan rumah keluarga dinaiki air, tetamu yang hadir terpaksa meredah banjir,” katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.

Nur Suzana berkata, walaupun hujan lebat tanpa henti, tetapi dia dan suami gembira kerana impian untuk mengadakan kenduri perkahwinan dapat dilaksanakan dengan jayanya di musim tengkujuh ini.

“Saya bersyukur kerana banjir mula surut pada 3 petang dan majlis perkahwinan berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 15, 2018 @ 5:50pm
d