mutakhir

Mat rempit rempuh polis [METROTV]

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

KONSTABEL polis cedera selepas mengelak daripada dirempuh mat rempit dalam Ops Samseng Jalan Raya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan di Ipoh, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, anggota polis berusia 23 tahun dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menaiki motosikal itu cuba dirempuh secara berhadapan oleh seorang remaja lelaki.

Keadaan itu menyebabkan polis berkenaan mengelak dan terjatuh hingga cedera di tangan serta kaki kanannya yang bengkak dan luka.

Difahamkan, dua kereta unit peronda (MPV) polis turut rosak pada bahagian hadapan selepas dirempuh seorang lagi mat rempit yang juga remaja berusia 18 tahun menaiki motosikal Yamaha Y15ZR.

Dalam operasi bermula tengah malam sehingga awal pagi hari ini itu, berjaya menahan seramai kira-kira 100 penunggang motosikal termasuk tiga remaja perempuan serta 83 motosikal.

Remaja yang merempuh MPV polis dikenali sebagai Mirul berkata, dia tidak sengaja merempuh kenderaan polis kerana situasi ketika itu kelam kabut menyebabkannya terpulas pendikit minyak motosikalnya.

Dia yang berasal dari Sungai Siput dan tinggal bersama kakaknya di Tasek di Ipoh berkata, motosikal dinaikinya itu sudah setahun dibeli secara tunai dan menyesal dengan apa yang terjadi.

“Saya jarang keluar dan menyesal dengan apa yang berlaku, saya tak sengaja pulas minyak motosikal menyebabkan saya merempuh kenderaan polis,” katanya yang ditemui di Cawangan Trafik IPD Ipoh, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua remaja dan lelaki terbabit dalam satu operasi dijalankan polis.

Katanya, semua yang ditahan termasuk motosikal dibawa ke Cawangan Trafik IPD Ipoh di Jalan Chamberlain Hulu, Ipoh, untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 10:24am
d