mutakhir

Adib masih kritikal

Oleh Teoh Pei Ying

KEADAAN kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, bulan lalu dilaporkan merosot.

IJN menerusi satu kenyataan hari ini berkata, fungsi paru-paru Adib di dalam tempoh 24 jam yang lalu mengalami kemerosotan yang progresif.

“Selepas penilaian yang teliti, paru-parunya menunjukkan tanda-tanda yang menyebabkan proses pertukaran gas tidak efektif.

“Ini adalah akibat kecederaan awal paru-paru yang teruk. Pada masa yang sama, fungsi buah pinggangnya juga tidak bertambah baik yang mana dia terus memerlukan sokongan dialisis,” katanya.

Berdasarkan perkembangan terkini Muhammad Adib, IJN membuat keputusan untuk memasukkan semula sistem pengoksigenan membran Veno-Vevous ECMO (Veno-Venous extracorporeal membran) sekali lagi pada 9 malam tadi.

Ia bagi membantu keperluan pernafasannya selepas perbincangan dilakukan oleh doktor perubatan dari pelbagai kepakaran.

“Apa yang berlaku adalah kemerosotan keadaan kesihatannya, Muhammad Adib masih dalam keadaan kritikal.

“Berdasarkan keadaan terkininya, lawatan adalah dihadkan, kami minta seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar Muhammad Adib kembali pulih,” katanya.

Selasa lalu, IJN dilaporkan berkata Muhammad Adib tidak lagi memerlukan mesin VV ECMO untuk membantu pernafasannya.

Dia menggunakan mesin itu sejak dipindahkan ke IJN dari Pusat Perubatan Subang Jaya.

Awal bulan ini, pasukan doktor di IJN sudah mengalihkan mesin sokongan jantung selepas jantungnya boleh berfungsi dengan sendiri.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 11:30am
d