mutakhir

Dipukul sampai patah gigi palsu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

BURUH patah gigi palsu dan cedera di siku kanan selepas diserang dengan cangkul dan pemutar skru dalam kejadian di Kampung Bukit Layat, Chalok, Bandar Permaisuri, Permaisuri, Khamis lalu.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4 petang ketika lelaki berusia 31 tahun itu berada di hadapan rumah seorang lelaki (suspek) untuk bertanya mengenai duitnya yang hilang.

Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa menuduhnya bertanggungjawab di sebalik kehilangan duit itu.

Kerana berang dituduh, suspek bertindak memukul mangsa beberapa kali menggunakan cangkul.

Beliau berkata, mangsa cuba melarikan diri bagi mengelak daripada terus dipukul dan suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengejar mangsa sambil membawa pemutar skru dan mengugut mahu membunuh mangsa.

“Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami luka pada siku kanan, patah gigi palsu dan bengkak pada muka membuat laporan di Balai Polis Chalok untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Permaisuri hari ini.

Zulkifli berkata, susulan laporan diterima, suspek berusia 37 tahun ditahan di rumah di Kampung Bukit Layat, di Permaisuri pada hari yang sama.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

“Kita turut menasihatkan masyarakat supaya menyelesaikan perselisihan faham atau masalah secara berhemah dan tidak mengikut perasaan bagi mengelak kejadian seumpama ini berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 12:28pm
d