mutakhir

Pengurus pusat hiburan maut ditetak

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PENGURUS pusat hiburan maut ditetak dalam satu pergaduhan di hadapan pusat hiburan di pusat perniagaan 8 Avenue, Seksyen 8, Petaling Jaya, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 6.38 pagi itu, mangsa yang berusia 28 tahun diserang beberapa lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berdiri di luar pusat hiburan berkenaan bersama beberapa lelaki lain.

Mangsa yang menetap di Maxwel Towers, Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada 7.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebelum kejadian pembunuhan, berlaku pergaduhan awal antara sekumpulan lelaki di hadapan premis berkenaan, pada 5.32 pagi.

“Kira-kira sejam kemudian, empat kenderaan termasuk Perodua Myvi, Honda HRV, Volkswagen Golf dan Toyota Camry tiba sebelum beberapa lelaki bersenjatakan parang keluar dan menyerang mangsa yang berada di luar premis.

“Dalam keadaan mangsa parah, dia sempat melarikan diri masuk ke dalam premis berkenaan untuk menyelamatkan diri dan kesemua suspek melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, katanya pihaknya menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun untuk membantu siasatan dan merampas empat kereta terbabit.

“Kita turut menemui tiga bilah parang dalam satu daripada kereta milik suspek yang ditahan itu.

“Siasatan masih diteruskan berhubung motif sebenar kejadian itu dan usaha mengesan baki suspek sedang dijalankan,” katanya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 2:02pm
d