mutakhir

Baki 7 Ahli Parlimen UMNO Perak kekal

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

BADAN Perhubungan UMNO Perak mengesahkan baki tujuh ahli parlimennya akan kekal bersama parti sekali gus tidak mengikut jejak langkah tiga bekas ahlinya yang keluar parti termasuk terbaru Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesemua ahli parlimen itu sudah menyatakan akan terus kekal dan tidak keluar parti walau apa jua berlaku.

“Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Ahli Parlimen Pasir Salak) kata tidak akan tinggalkan parti, Datuk Hasbullah Osman (Gerik) yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri juga kata tidak, Parit (Datuk Mohd Nizar Zakaria) juga tidak.

“Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Padang Rengas) juga tidak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) sudah pasti tidak, Kuala Kangsar (Datin Mastura Yazid) juga tidak, Lenggong (Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah) juga tidak akan meninggalkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perak di Ipoh, hari ini.

Turut hadir ialah Tajuddin, Hasbullah, Nizar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Ketua-Ketua UMNO Bahagian Negeri.

Saarani berkata, mesyuarat pada hari ini turut membuat keputusan menuntut semua ahli parlimen dan ADUN di negeri ini yang keluar meninggalkan parti supaya melepaskan jawatan mereka sebagai ahli parlimen atau ADUN.

Katanya, ia bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan sekali gus memberikan peluang kepada pengundi membuat pilihan semula kerana mereka dahulunya dipilih pengundi atas kapasiti Barisan Nasional (BN).

“Harus saya ingatkan kepada rakan-rakan saya, semasa kita menghantar borang pencalonan, ada satu dokumen yang sangat penting perlu dibawa bersama selain daripada borang pencalonan, kad pengenalan iaitu watikah tauliah yang ditandatangani Pengerusi BN.

“Watikah tauliah itu membenarkan calon menggunakan lambang BN dalam pilihan raya, kalau tanpa watikah tauliah itu, dia (calon) tak boleh guna lambang BN, dia mungkin jadi calon bebas.

“Jadi kita tuntut mereka ini jadi ‘gentleman’, untuk adil kepada pengundi maka lepaslah jawatan itu, biar diadakan PRK dan rakyat akan memilih siapa yang sebenarnya mereka mahu,” katanya.

Setakat ini, tiga ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Hamzah sudah meninggalkan parti.

Manakala dua ADUN iaitu, ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi turut berbuat demikian sebelum ini.

Sementara itu, Saarani berkata, UMNO Perak turut sebulat suara menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Ahmad Zahid sebagai presiden parti kerana beliau dipilih perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 lalu.

Katanya, secara perlembagaan Presiden UMNO yang dipilih itu akan tamat tempoh jawatan pada 2021 dan pada waktu itu ahli-ahli boleh memikirkan sama ada untuk mengekalkan atau memilih pemimpin baru.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 3:19pm
d