mutakhir

Ajal isteri jatuh motosikal

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

WANITA maut selepas terjatuh dari motosikal ditunggang suaminya dalam kejadian di Kampung Telok Pial, Kuala Kurau, Parit Buntar, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Sanusi Salleh berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa Satarah Aziz Rahman, 28, yang juga warganegara Myanmar (Rohingya) maut di lokasi kejadian akibat parah.

Menurutnya mangsa dan suami dikatakan dalam perjalanan dari Kuala Kurau menghala Tanjung Piandang untuk pulang ke rumah.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku dipercayai akibat tindakan suami mangsa yang dikatakan menunggang motosikal secara laju ketika menuruni jambatan di kawasan terbabit.

“Akibat kejadian itu, motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dinaiki suami isteri itu hilang kawalan sebelum mangsa yang membonceng tercampak jatuh dari motosikal.

“Menyedari isterinya tiada, penunggang berusia 32 tahun segera berpatah balik untuk mendapatkan isterinya, namun mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di Parit Buntar, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, penduduk, Mohamah Hafiz Zulkifli, 31, berkata, dia bersama penduduk kampung yang sedang menonton perlawanan bola sepak di antara Malaysia menentang Vietnam di surau berhampiran, terkejut apabila melihat mangsa terjatuh.

“Kami terdengar bunyi sesuatu terjatuh dan sebaik memeriksa mendapati seorang wanita, berlumuran darah dan kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 4:33pm
d