mutakhir

'Bukan tuduh, beri ingatan jer...'

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

PRESIDEN UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada gerakan membeli Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang untuk berpaling tadah sekali gus menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Beliau berkata, gunting dalam lipatan juga sudah wujud yang antara lain bertujuan mengugut dan memujuk Ahli Parlimen dan ADUN agar kerajaan BN Pahang tumbang.

Katanya, beliau tidak menuduh, sebaliknya sekadar memberi ingatan untuk berhati-hati.

“Kita harus membendung agar Ahli Parlimen dan ADUN di Pahang tidak berpindah ke sebelah sana, sebab sudah ada yang berjumpa dengan orang itu (tidak memaklumkan nama).

“Saya Menteri yang pernah jaga polis.. askar… saya beritahu ini… jadi saya ingin ingatkan kita perlu hati-hati. Usaha sudah dibuat. Perjumpaan pun sudah dibuat.

“Saksi dalam perjumpaan pun ada maka kita perlu pertahankan agar mereka ini kekal dengan BN,” katanya memetik portal UMNO ONLINE sewaktu berucap dalam program retreat UMNO Bahagian Temerloh di Bukit Fraser, hari ini.

Zahid berkata, sebelum nasi menjadi bubur, kepimpinan UMNO Pahang perlu melakukan sesuatu kerana ‘mereka di sebelah sana’ sangat licik.

Sambil memberikan contoh, kejatuhan kerajaan Melaka yang berpunca daripada maklumat dalaman.

“Saya beri contoh kejatuhan Melaka ketika Belanda menyerang.. Ketika Portugis menyerang… semua disebabkan maklumat dalaman,” katanya.

Zahid turut berpesan tidak perlu risau mengenai dirinya kerana beliau akan terus bersama UMNO sebagai Presiden kerana mahu parti itu terus relevan.

“Jangan risau pasal saya… apa pun keputusan saya (untuk kekal sebagai Presiden), saya tetap akan kekal bersama UMNO kerana saya mahu melihat UMNO terus relevan.

“Biar siapa pun yang menjadi Presiden selepas ini, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, saya mahu melihat UMNO kembali menguasai Putrajaya,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 9:59pm
d