mutakhir

SMSL dakwa ada bukti penyelewengan [METROTV]

Oleh Shahrinnahar Latib

KUMPULAN anti-Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), hari ini mendakwa mengumpul 117 muka surat bukti penyelewengan dilakukan oleh agensi yang terbabit dalam mengawal selia aktiviti kilang memproses nadir bumi itu di Kawasan Perindustrian Gebeng, dekat Kuantan.

Pengerusinya, Tan Bun Teet mendakwa semua bukti penyelewengan itu akan dibawa pihaknya ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan hadapan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Sehingga kini, kita masih lagi mengumpul bukti penyelewengan dilakukan oleh pihak terbabit dan selepas semuanya selesai, kita akan serahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut.

“Kami dapati memang banyak penyelewengan dilakukan oleh badan yang diamanahkan untuk kawal selia Lynas ini. Mereka ini tidak bersungguh menjalankan tugas, jadi siasatan lanjut perlu dijalankan,” katanya pada sidang media di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di Kuantan, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung.

Bun Teet berkata, pihaknya tetap komited memperjuangkan isu Lynas, malah mesej yang ingin disampaikan adalah jelas iaitu mahu operasi kilang berkenaan mengikut prosedur.

“Kami tidak tahu sejauh mana selamatnya kilang memproses nadir bumi berkenaan dan tidak berkompromi terhadap sebarang isu keselamatan awam dan alam sekitar. Usaha secara komprehansif akan dilakukan untuk memastikan kilang itu mematuhi prosedur dari pelbagai aspek,” katanya.

Selain itu katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga mengingatkan ahli politik yang berjaya memenangi kerusi sama ada DUN atau Parlimen supaya mengotakan janji mereka untuk menutup kilang Lynas.

“Saya ingin ingatkan mereka bahawa sepanjang masa kita menjalankan kempen anti-Lynas, ahli politik ini sudah gunakan isu berkenaan sebagai modal politik mereka.

“Ada dalam kalangan mereka yang berjanji untuk menutup kilang Lynas jika menjadi kerajaan walaupun tiada dalam manifesto, sekarang mereka sudah menang, jadi saya minta mereka kotakan janji yang dibuat itu.

“Jangan bagi janji kosong, rakyat tengah menunggu adakah pemimpin mereka dapat mengotakan janji yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2018 @ 11:41pm
d