mutakhir

PATI tak sedar kena kepung

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SERAMAI 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di pelantar ikan dan tapak pembinaan sekitar Kuala Kedah ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Malaysia dan polis marin di Alor Setar semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, dalam Ops Mega 3.0 yang berakhir pada jam 2 petang itu, seramai 100 warga asing diperiksa dengan 34 ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, semua PATI sedang leka bekerja sehingga tidak menyedari kehadiran 38 anggota imigresen yang mengepung kawasan terbabit.

“Seramai 34 lelaki warga asing berusia antara 16 hingga 39 tahun itu ditahan selepas kebanyakan mereka bekerja tanpa memiliki permit sah.

“Mereka terdiri daripada 19 warga Myanmar, 13 warga Bangladesh manakala dua lagi adalah warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuhair berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tinggal lebih masa serta Per.39 (B) Peraturan Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Katanya, semua PATI ditahan sementara di lokap Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar dan akan dibawa ke Depot Imigresen Belantik, Sik,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 9:19am
d