mutakhir

Warga emas maut MPV terjunam

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LELAKI warga emas maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki terbabas sebelum jatuh ke bawah tebing setinggi lima meter dalam kemalangan di Jalan KL-Ipoh berhampiran Stesen Penguatkuasa (RTD) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kalumpang, di Hulu Selangor kira-kira jam 2.25 pagi tadi.

Mangsa, Abd Samat Idris, 70, yang tersepit pada bahagian tempat duduk penumpang belakang, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, seramai 13 anggota termasuk seorang pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 2.28 pagi tadi.

Katanya, sebaik sampai, empat mangsa yang berada dalam kenderaan sudah berjaya dikeluarkan terlebih dulu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

“Empat mangsa berkenaan membabitkan dua lelaki dewasa dan dua kanak-kanak perempuan hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka diselamatkan oleh orang awam.

“Manakala seorang lagi mangsa yang tersepit pada bahagian tempat duduk penumpang belakang berjaya dikeluarkan anggota bomba yang berada di lokasi 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamil berkata, unit perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dialami pada bahagian kepala dan badan.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi proses bedah siasat.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 9:30am
d