mutakhir

Penduduk Manjoi sumbang bina sekolah agama di Kemboja

Oleh Sharul Hafiz Zam

DEMI memastikan nasib saudara seagama terus terbela, penduduk Manjoi, Ipoh menyumbang lebih RM21,000 kepada umat Islam di Kemboja baru-baru ini.

Wang hasil kutipan dan sumbangan penduduk itu diserahkan kepada Masjid Kampung Cheremin, Kemboja, bagi tujuan pembinaan sekolah agama yang dapat digunakan generasi muda masyarakat Melayu Champa di negara itu.

Pengerusi Surau Al-Ikhlasiah, Manjoi, Mat Anjang Yaacob berkata, hasrat membantu umat Islam di Kemboja timbul selepas melihat ada wakil masyarakat dari negara itu datang mengutip derma di kawasan Manjoi sebelum ini.

“Kita mendapati terdapat ramai warga asing beragama Islam datang mengutip sedekah dan atas inisiatif memastikan sumbangan itu sampai, kami bersetuju membantu umat Islam Kemboja secara terus.

“Berikutan itu, sejak beberapa tahun lalu, kita mula menyumbang haiwan ternakan bagi majlis korban selain turut menghantar bantuan persekolahan kepada kanak-kanak miskin di sana,” katanya.

Difahamkan, sumbangan wang tunai berkenaan adalah yang terbesar pernah disumbangkan selepas terdapat permintaan daripada penduduk Kampung Cheremin yang memerlukan bantuan pembinaan sekolah agama.

Mat Anjang berkata, selain wang tunai, pihaknya turut menyumbang pakaian terpakai dan makanan kepada penduduk kampung yang kebanyakannya adalah golongan fakir miskin.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 9:54am
d