mutakhir

PH belum bincang nasib bekas pemimpin UMNO

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan sebarang mesyuarat untuk membincangkan status penerimaan bekas pemimpin UMNO yang meninggalkan parti untuk menyertai kerajaan hari ini.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, perkara itu

berkemungkinan diadakan pada tahun hadapan selepas semua wakil Majlis Presiden PH dipanggil.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, sebagai salah seorang daripada ahli Majlis Presiden mewakili AMANAH, pandangan mengenai hala tuju bekas Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang meninggalkan parti mereka akan dimaklumkan.

“Kami belum membuat sebarang keputusan apakah akan menerima semua atau sebahagian mereka itu

untuk sertai kami.

“Majlis Presiden belum lagi bersidang dan berbincang mengenai hal ini dan kita akan buat keputusan yang sewajarnya. Biasanya tahun depanlah sebab sekarang ini ada pihak yang sedang bercuti selepas kerja kerja keras selama enam bulan.

“Terlalu awal untuk disebut tapi kita berharap kebimbangan sama ada ini akan memecahkan atau merenggangkan hubungan kami di dalam PH itu tidak berlaku,” katanya.

Mohd Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi 2018 Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid.

Pada 12 Disember lalu, UMNO Sabah lumpuh apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas.

Jumaat lalu, enam lagi Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti, sehari selepas veteran UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad turut meninggalkan UMNO dan dilaporkan menyertai BERSATU.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 4:21pm
d