mutakhir

Penjawat awam dapat RM500 esok

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BAYARAN khas sebanyak RM500 yang dibayar esok akan memberi manfaaat kepada lebih 1.4 juta penjawat awam kerajaan persekutuan, membabitkan pegawai lantikan tetap serta pegawai kontrak.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan memutuskan untuk membayar sebelum hujung tahun bagi membantu ibu bapa dalam kalangan penjawat awam sebagai persiapan untuk persekolahan anak menjelang tahun baharu.

Pada masa sama, katanya kerajaan juga akan membuat bayaran khas sebanyak RM250 kepada hampir 800,000 pesara bagi mengenangkan khidmat bakti mereka.

Lim ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada 2 November lalu mengumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah dan sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan.

Dalam pada itu, Lim berkata sungguhpun bayaran khas itu yang akan menelan perbelanjaan sebanyak RM1 bilion tidak diperuntukkan lebih awal dalam Belanjawan 2018, namun kerajaan Pakatan Harapan masih boleh mencari wang menerusi penjimatan dengan menjalankan pentadbiran yang bersih serta Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 4:47pm
d