mutakhir

Sanjeevan didakwa dedah kandungan laporan polis

Oleh Sarah Zulkifli

PENGERUSI Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan mendedahkan kandungan laporan polis di blognya, tiga tahun lalu.

Sanjeevan, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, beliau sebagai pemilik blog https://srisanjeevanr.blogspot.my, didakwa mendedahkan kandungan laporan polis kepada orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 69-2, Jalan Puteri, Bandar Puteri, Puchong, jam 9.07 malam, pada 13 November 2015.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 203A(2) kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy’ari Kamaruzzaman menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam S Preakas yang mewakili Sanjeevan memohon jaminan RM5,000 atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama dengan pihak polis.

Mahkamah membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Februari 2019 sebagai sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 5:16pm
d