mutakhir

Solat hajat buat Adib [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, hari ini mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat serentak di 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bagi mendoakan kesihatan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang kini kritikal.

Pemangku Pengarah JBPM Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya mengharapkan kesembuhan buat anggota bomba kelahiran Kedah yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan keadaan Muhammad Adib kini kritikal dan berharap berkat solat hajat, tahlil dan bacaan Yasin yang dilakukan akan memberi kesembuhan kepadanya.

“Majlis ini diadakan selepas waktu Zohor tadi dan kita berharap ada berita baik mengenai keadaan terkini Muhammad Adib,” katanya ketika ditemui selepas majlis di BBP Alor Setar, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 50 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat JBPM Kedah dan anggota BBP Alor Setar mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat.

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Kota Setar, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, pihaknya mengharapkan Muhammad Adib kembali pilih dan menjalankan tugas seperti biasa.

Akhbar semalam melaporkan keadaan kesihatan Muhammad Adib yang sedang dirawat di IJN akibat parah dalam kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, bulan lalu dilaporkan merosot.

IJN menerusi satu kenyataan dipetik berkata, fungsi paru-paru Muhammad Adib di dalam tempoh 24 jam yang lalu mengalami kemerosotan dan penilaian yang teliti menunjukkan tanda yang menyebabkan proses pertukaran gas tidak efektif.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 5:27pm
d