mutakhir

Banjir: Jumlah mangsa meningkat di Terengganu

Oleh Fitri Nizam

MANGSA banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilaporkan meningkat kepada 789 orang, dan daerah Marang paling teruk terjejas sehingga jam 8 malam ini.

Berdasarkan kemaskini Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu sebanyak dua lagi PPS diaktifkan berbanding 11 PPS yang sudah sedia beroperasi sejak pagi tadi iaitu di Marang, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Setiu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, Marang dilaporkan menjadi daerah paling teruk terjejas apabila seramai 439 mangsa kini ditempatkan di empat PPS berbanding 294 mangsa, petang tadi.

Semua mangsa membabitkan 113 keluarga itu ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Marang, SK Bukit Gasing, SK Pasir Puteh dan SK Rusila yang baharu diaktifkan.

Di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, seramai 323 mangsa kini mendapatkan perlindungan di lima PPS iaitu di SK Tok Jembal, Dewan Mengabang Telong, SK Gong Tok Nasek, SK Chendering dan SK Atas Tol apabila kawasan perumahan mereka ditenggelami air.

Sementara itu, di Setiu seramai 27 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Rhu Sepuluh, Balai Raya Taman Hijrah dan SK Telaga Papan.

Keadaan itu dijangka berterusan berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang menjangkakan hujan lebat akan terus melanda beberapa kawasan di negeri ini sehingga esok.

Sementara itu, berdasarkan kemaskini infobanjir.water.gov.my/waterlevel menunjukkan terdapat empat sungai di negeri ini kini berada di paras berjaga-jaga iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak (34.36 meter); Sungai Nerus di Kampung Langkap (19.53 meter); Sungai Nerus di Kampung Bukit (12.03 meter); Sungai Telemong di Kuala Ping (18.23 meter).

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 9:09pm
d