mutakhir

Jho Low enggan dibicarakan di Malaysia

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

AHLI perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low bertegas tidak mahu dibicarakan di Malaysia berhubung dakwaan menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jurucakapnya dalam satu kenyataan hari ini berkata, ahli perniagaan itu tetap mengaku tidak bersalah berhubung tuduhan ke atasnya.

“Seperti yang sudah dinyatakan sebelum ini, Jho Low tidak akan menyerah kepada sebarang bidang kuasa yang mana dia sudah ditetapkan sebagai bersalah oleh politik dan tiada sistem perundangan yang bebas.

“Jelas bahawa Jho Low tidak boleh mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia, di mana regim kerajaan sering kali membuktikan bahawa mereka tidak berminat dengan kedaulatan undang-undang,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jabatan Peguam Negara akan menuntut denda melebihi RM11.3 bilion (AS$2.7 bilion) dan hukuman penjara terhadap anak syarikat Goldman Sachs Investment Bank dan empat individu lagi atas penipuan mereka menjejaskan pasaran modal negara ini.

Menurutnya, empat individu itu ialah dua pekerja Goldman Sachs iaitu Tim Leissner, Roger Ng Chong Hwa, bekas pekerja 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan dan Jho Low.

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 9:26pm
d