mutakhir

Anggota polis Cawangan Khas maut jatuh bangunan

SEORANG anggota polis dari Cawangan Khas ditemukan mati di hadapan sebuah hotel di Pulau Tikus, Georgetown, hari ini dipercayai terjatuh dari bangunan hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian pada 4.45 pagi selepas dihubungi pekerja hotel yang memaklumkan terdapat mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap di atas jalan di situ.

“Hasil pemeriksaan mendapati mayat itu ialah seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 47 tahun dan bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. Dia berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 19 tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu pergi ke sebuah pusat karaoke bersebelahan bangunan hotel untuk menyambut hari jadi rakannya yang juga seorang anggota polis bertugas di Kontinjen Polis Pulau Pinang,” katanya.

Katanya, siasatan awal polis menemui beg dan selipar sebelah kiri milik mangsa di tingkat dua hadapan sebuah klinik pergigian di bangunan pusat karaoke berkenaan.

Che Zaimani berkata, pemeriksaan lanjut di tingkat empat bangunan sama, polis menemui kesan koyakan langsir di kaki lima pusat karaoke berkenaan, manakala dompet termasuk kad kuasa dan telefon bimbit mangsa turut hilang.

“Namun, sehingga kini tidak dapat dipastikan mangsa terjatuh dari tingkat dua atau tingkat empat bangunan itu, dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan dada serta sebelah tangan kanan patah dan mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

“Bedah siasat yang dijalankan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah di kepala dan dada akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Setakat ini polis klasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Menurutnya, terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tempat kejadian yang menunjukkan mangsa jatuh, namun pihak polis masih menjalankan siasatan.

Katanya, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu siasatan. - BERNAMA

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 10:56pm
d