mutakhir

Pemergian Adib ditangisi ramai

Oleh Nor Azizah Mokhtar

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetofficial, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanazizah.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah,” kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui berita kematian Muhammad Adib menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya berasa amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumkan bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirkan rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.,” kata beliau.

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” kata beliau di Twitter.

Dalam pada itu, ribuan netizen melalui laman Facebook dan Twitter turut mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhammad Adib selain berkongsi kesedihan masing-masing dengan berita mengejutkan itu.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 17, 2018 @ 11:39pm
d