mutakhir

JBPM Kedah urus pengebumian jenazah Adib

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JENAZAH Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi, dijangka akan dikebumikan mengikut istiadat kebombaan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah esok.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, kerja menggali liang sudah dilakukan anggotanya sebaik menerima berita Muhammad Adib meninggal dunia pada 9.41 malam.

Beliau berkata, seramai 200 anggota dari JBPM Kedah akan ditugaskan bagi menyambut ketibaan jenazah dan menguruskan upacara pengebumian sehingga selesai.

“Majlis penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Muhammad Adib akan dibuat di rumah keluarganya esok.

“Turut akan mengiringi jenazahnya adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan beberapa tetamu kenamaan lain dijangka hadir untuk upacara pengebumian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah di Alor Setar, tengah malam ini.

Terdahulu JBPM Kedah mengadakan mesyuarat khas selepas Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Mohd Zahar berkata, setakat ini segala kemudahan pengangkutan yang akan digunakan untuk proses pengebumian sudah disiapkan.

“Pegawai kita juga sudah meninjau lokasi pengebumian malam ini dan persiapan rapi menyambut jenazah Allahyarham sedang dilakukan.

“Bagi pihak JBPM Kedah, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Adib atas pemergiannya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 1:23am
d