mutakhir

Polis kerja keras pastikan pembunuh ditangkap

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

POLIS Diraja Malaysia sedang bekerja keras bagi memastikan pihak bertanggungjawab atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, bulan lalu dibawa ke muka pengadilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy menegaskan yang berkongsi kesedihan berkata, keluarga anggota bomba dan penyelamat berusia 24 tahun itu dan negara turut berkabung bersama-sama.

“Pihak polis sedang bekerja keras bagi memastikan pesalah jenayah kejam ini dibawa ke muka pengadilan dengan pantas,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib yang disifatkan sebagai anggota bomba yang berani dan berdedikasi.

“Muhammad Adib adalah seorang ahli bomba yang berani dan berwibawa, berkhidmat untuk negara dengan penuh dedikasi.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar mendoakan Muhammad Adib ditempatkan bersama-sama yang beriman.

“Fabrik sosial negara ini terbina daripada perpaduan dan keamanan yang dikecapi dalam 60 tahun yang lalu dan marilah kita bersama-sama berdoa untuk Muhammad Adib dan keluarga beliau pada masa yang mencabar ini,” katanya yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial.

Muhammad Adib yang cedera dalam insiden rusuhan di Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor, tiga minggu lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 11:20am
d