mutakhir

Tindakan Nurul Izzah berkait Ahli Parlimen pembangkang lompat

Oleh Siti Nur Mas Erah Amran

KEPUTUSAN Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan Naib Presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang ada kaitan dengan tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar parti beramai-ramai, dakwa Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menafikan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkait dengan kemelut dalaman parti.

“Ia lebih kepada kemelut politik nasional, bukannya soal gelodak dalam PKR,” katanya selepas menghadiri program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, hari ini.

Semalam, Nurul Izzah mengumumkan peletakan kedua-dua jawatannya itu selain turut melepaskan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Dalam pada itu Saifuddin berkata, tindakan Nurul Izzah melepaskan jawatannya itu bertujuan untuk memudahkannya menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh sekaligus bebas menyuarakan aspirasi rakyat tanpa kongkongan politik.

“Beliau memilih untuk menjadi ahli biasa dan sebagai Ahli Parlimen, beliau boleh membawa aspirasi rakyat tanpa kongkongan.

“Baginya, ini bukan masa untuk berpolitik, sebaliknya masa untuk berkhidmat dan memberi tumpuan bagi menterjemahkan semua harapan rakyat.

“Selain itu, kalau beliau mahu suarakan apa-apa secara terbuka, jawatan pertama yang akan orang ingat adalah, beliau anak Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan ada bertemu Nurul Izzah semalam malah berkesempatan untuk berbual panjang berhubung isu terbabit.

“Beliau turut melakukan solat Istikharah dan percaya tindakannya itu adalah langkah terbaik bagi membolehkannya memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 12:27pm
d