mutakhir

Kontraktor dipenjara 7 hari, denda RM10,000

Oleh Junita Mat Rasid

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan denda RM10,000 terhadap seorang kontraktor selepas mengaku bersalah membuat tuntutan palsu, dua tahun lalu.

Mohamad Rizal Abu, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap tertuduh, dan boleh dikenakan penjara selama enam bulan lagi sekiranya tidak menjelaskan denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan disedari memberikan suatu dokumen iaitu Claim Invois Syarikat Rizal Suci Enterprise bertarikh 3 Jun 2016 kepada Penolong Pegawai Tadbir, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat.

Perbuatan itu bagi membolehkan dirinya membuat tuntutan palsu bernilai RM1,200 bagi satu projek yang didapati tidak dilaksanakan pihaknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kesihatan Daerah Segamat pada 18 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda sehingga lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Norsyarina Raiza, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memohon hukumannya dikurangkan kerana mempunyai tanggungan tiga anak dan isteri yang sedang mengandung.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 12:27pm
d