mutakhir

Senyuman manis terakhir Adib [METROTV]

Oleh Faris Fuad

ANGGOTA bomba dan penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim sangat ceria ketika menyambut hari kelahirannya.

Detik gembira itu dirakamkan pada 28 Mei lalu, dikongsikan pemilik akaun Instagram, @friendsofbombamalaysia yang memuat naik rakaman video terakhir Allahyarham berdurasi 18 saat pagi tadi yang turut tular di Facebook dan Twitter.

Kedengaran dalam video itu juga beberapa rakannya yang mengusik Allahyarham termasuk meminta anggota bomba itu memotong kek hari kelahirannya segera bagi membolehkan mereka menjamahnya tanpa rasa bersalah.

Allahyarham kelihatan malu-malu ketika memotong kek itu namun sempat mengukirkan senyuman dan memberi tanda ‘baik’.

Turut mencuri tumpuan, seorang pengguna Instagram @watierazzania di ruangan komen @friendsofbombamalaysia yang menyentuh hati netizen dengan menyifatkan senyuman manis Adib menyebabkan satu Malaysia menangis.

Ungkapan terbabit mendapat 122 ‘likes’ dan rata-rata pengguna di Instagram itu mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Masjid As-Saadah, Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Alor Setar, kira-kira jam 1.45 tengah hari tadi.

Pengebumian jenazah turut dihadiri ratusan anggota keluarga, saudara-mara dan penduduk sebagai memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Suasana hiba menyelubungi upacara itu dengan keadaan cuaca yang sedikit mendung memudahkan urusan pengebumian dijalankan.

.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 4:58pm
d