mutakhir

'Kami mahu berehat, tiada kenduri...'

Oleh Petah Wazzan Iskandar

KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, memutuskan tidak membuat sebarang majlis bagi menggantikan kenduri perkahwinan yang sepatutnya berlangsung, Sabtu ini.

Bapanya Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata anaknya sudah selamat dikebumikan maka sudah pasti majlis perkahwinan terbabit juga tidak berlangsung.

“Malah, saya tiada sebarang rancangan untuk mengadakan kenduri arwah ataupun doa selamat.

“Persiapan perkahwinan pun sudah pun dibatalkan, malah tiada yang perlu dilakukan lagi.

“Sekarang, kami mahu berehat seketika kerana sudah 20 hari bersama Allahyarham ketika menerima rawatan,” katanya dalam nada tenang ketika ditemui di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, hari ini.

Sementara itu, datuk saudara Allahyarham, Mohd Shukor Osman, 53, berkata segala persiapan perkahwinan Muhammad Adib bersama pasangannya, Nurul Najihah Mohd Radzi, 25, ditangguhkan sejak dimasukkan ke hospital.

“Malah, segala kelengkapan yang digunakan untuk kenduri kahwin sepupu arwah yang berlangsung hari ini (semalam) seperti khemah, kerusi meja juga yang sepatutnya dihantar esok (hari ini) bagi persiapan juga sudah dibatalkan.

“Kami semua reda dengan pemergian Allahyarham dan biarlah beliau bersemadi dengan aman,” katanya.

Sementara itu, Nurul Najihah dalam nada sedih dan kecewa mempertikaikan pihak yang menyebarkan kad perkahwinan mereka.

“Entah siapalah yang sebarkan kad perkahwinan kami,” katanya sebelum berlalu pergi dengan diiringi anggota bomba wanita.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 6:45pm
d