mutakhir

Jangan 'panas' lagi keadaan

Oleh Safeek Affendy Razali

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh membangkitkan sensitiviti perkauman atau keagamaan ekoran insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya, 26 November lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes membabitkan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, kini sedang disiasat dan diklasifikasikan semula daripada Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) kepada Seksyen 302 kanun sama (bunuh).

“Siasatan lanjut akan diselaraskan mengikut peruntukan seksyen yang sudah dipinda.

“PDRM akan terus memastikan langkah-langkah keselamatan sewajarnya diambil bagi memastikan kesejahteraan masyarakat lebih terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fuzi yang mewakili seluruh warga PDRM turut menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Adib.

“Allahyarham mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam. Pemergiannya adalah satu kehilangan besar dan beliau akan terus dikenang sebagai seorang wira negara.

“Sama-samalah kita berdoa moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan syuhada dan orang-orang yang soleh,” katanya.

Beliau juga berharap keluarga dan rakan-rakan sepasukan Allahyarham tabah menghadapi dugaan.

Disiarkan pada: December 18, 2018 @ 7:18pm
d