mutakhir

Gagal cubaan seludup ketum

Oleh Noorazura Abdul Rahman

HASRAT seorang lelaki menyeludup 302 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM27,000 tidak kesampaian apabila ditahan anggota tentera berhampiran batu sempadan 34 di Padang Terap, semalam.

Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki itu ditahan kira- kira jam 1 tengah hari ketika sedang memunggah sejumlah guni di sebuah bangsal kayu di dalam kawasan hutan terbabit.

Menurutnya, anggota Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) diketuai Mejar Mohammad Redzuan Jaffar melakukan rondaan bermotosikal sebelum ternampak sebuah bangsal yang mencurigakan.

“Apabila menghampiri bangsal berkenaan, pasukan itu melihat seorang lelaki warga Thailand berusia 28 tahun sedang menggalas guni berwarna putih.

“Lelaki itu kemudian ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui 10 guni putih serta tiga plastik hitam berisi daun ketum seberat 302 kg bernilai lebih RM27,000 dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, bangsal itu dipercayai dijadikan transit untuk menyeludup daun ketum yang mendapat permintaan dan harganya juga tinggi di Thailand.

Katanya, turut dirampas, sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2,000.

“Lelaki terbabit berserta daun ketum dan motosikal kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 12:02pm
d