mutakhir

Premis judi dalam talian diserbu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan sekumpulan penjaga premis dan pemain judi dalam talian dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Pasir Gudang, semalam.

Serbuan bermula jam 6.35 petang itu dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam serta Balai Polis Pasir Gudang.

Semua serbuan itu dibuat di premis kedai makan dan pusat snuker sekitar kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, pihaknya menahan 15 pelanggan terdiri daripada 13 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing.

Katanya, selain itu polis menahan tiga wanita warga asing, tiga lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing dipercayai penjaga premis.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia dan Bangladesh, manakala semua tangkapan berusia antara 21 hingga 65 tahun.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, enam kertas putih, satu beg berwarna biru dan wang tunai RM1,522 dan SGD60 (RM183.89),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) akta sama serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Pada masa sama, katanya, orang ramai digesa menyalurkan maklumat jika terdapat aktiviti perjudian seumpama itu di kawasan masing-masing.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 12:20pm
d