mutakhir

Mana cukup 'makan' dengan RM30...? [METROTV]

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

“KERAJAAN tolonglah kami, pendapatan RM30 sehari tidak mencukupi,” kata Abdul Aziz Abdul Rahman, 66, pemandu teksi yang menyertai perhimpunan aman di Dataran Seremban, hari ini, bagi mendesak Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Foke supaya membela kebajikan mereka.

Abdul Rahman antara 70 pemandu teksi yang berkumpul bagi menyerahkan memorandum kepada Loke dan Menteri Besar Aminuddin Harun selepas industri perkhidmatan teksi di Seremban dilihat semakin malap.

Dia yang sudah 15 tahun memandu teksi berkata, ketika ini dia hanya meraih RM30 sehari sedangkan pendapatan sebelum ini antara RM100 hingga RM150 sehari.

“Selepas ada perkhidmatan e-hailing, nasib kami seperti kais pagi makan pagi, namun tidak sempat mengais pada waktu petang. Kerajaan perlu peka kerana kami tidak tahu bagaimana dengan nasib anak dan isteri selepas ini,” katanya yang menetap di Ampangan, Seremban.

Sementara itu, wakil Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) Yahya Khamis berkata, perhimpunan bertujuan menuntut hak kesamarataan antara pemandu teksi dan e-hailing.

Katanya, kerajaan perlu menyelaraskan harga perkhidmatan di mana teksi dikawal Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), manakala e-hailing pula diselia oleh syarikat.

“Kami juga menuntut supaya pemandu e-hailing tidak mengambil penumpang di hentian kami. Mereka sewenang-wenangnya menunggu di kawasan pondok dan terminal bas sedangkan kami perlu beratur (menunggu pelanggan) dengan dikenakan pelbagai bayaran,” katanya.

Katanya, kenderaan e-hailing juga perlu melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan cermin kenderaan tidak gelap.

“Paling utama adalah selaraskan harga (tambang) kerana harga yang rendah menyebabkan pendapatan pemandu teksi berkurangan. Sebagai contoh, harga dikenakan teksi adalah RM10 manakala Grab adalah RM7, menyebabkan penumpang tidak mahukan perkhidmatan kami,” katanya.

Menurut Yahya, jika permintaan itu tidak dipenuhi, pihaknya akan mengemukakan petisyen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Istana Negara.

Pada perhimpunan itu, 70 pemandu teksi yang berpakaian kemeja-T berwarna kuning melaungkan ‘Reformasi Teksi’.

Mereka juga membawa kain rentang yang tertulis ‘Kami masih ditindas walapun kerajaan telah bertukar. Anthony Loke kami mahukan keadilan’.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 2:06pm
d