mutakhir

KKM tak benarkan tempat khas merokok

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

LEBIH 5,000 pegawai penguat kuasa Kementerian Kesihatan akan digerakkan bagi menguatkuasakan tindakan berhubung larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boo Chye berkata, buat permulaan tindakan dilakukan penguat kuasa terbabit menggunakan pendekatan nasihat kepada perokok mahupun pengusaha restoran.

Katanya, pengusaha restoran tidak perlu bimbang kerana mereka tidak akan disaman jika mematuhi peraturan ditetapkan iaitu menampal notis larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok.

“Mana-mana perokok dan pengusaha restoran yang masih berdegil, kita akan saman.

“Enam bulan selepas arahan larangan ini dikuatkuasa, kita tidak bagi peluang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Penglihatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Health Berhad 2018 di Pusat Kesihatan Tawakkal (THC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Datuk Amiruddin Abdul Satar, Pengerusi KJP EyeCare Specialist Sdn Bhd; Pengarah Eksekutifnya, Ahmad Nasirrudin dan Pengarah Klinikal, Dr Norazlina Bachik.

Berhubung cadangan supaya restoran diberi lesen untuk menyediakan tempat khas untuk perokok, Dr Boon Chye menegaskan kerajaan tidak akan membenarkannya.

Katanya, ia selaras Artikel 8 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dianggotai Malaysia sejak 2005 berkaitan komitmen untuk bebas tembakau pada 2045.

“Kita tidak akan benarkan kawasan khas untuk rokok sama ada di restoran berhawa dingin atau tidak.

“Kalau nak benar kawasan khas, dari segi logistik pun tidak logik.

“Pengusaha restoran seharusnya adakan zon penampan untuk perokok iaitu tiga meter dari restoran,” katanya.

Mulai 1 Januari depan mana-mana pengusaha restoran dan peniaga serta perokok yang enggan mematuhi peraturan ini akan didakwa mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983.

Sementara itu, pada majlis sama, Dr Boon Chye turut menyampaikan cermin mata menerusi program ‘outreach’ kepada sembilan kanak-kanak dari Sekolah Pelangi Kasih di sini yang menempatkan pelarian dan anak yatim.

Menerusi program dijalankan Pusat Pakar Mata KPJ itu (KPJ CFS) sejak beberapa bulan lalu membantu meningkatkan penglihatan kepada 33 individu memerlukan.

Ia termasuk 24 pesakit warga tua yang menjalani pembedahan katarak percuma melalui penajaan KPJ CFS bernilai RM36,000 dan Lion Club Kuala Lumpur Bukit Kiara yang menyumbang RM26,400 menerusi geran oleh Yayasan CIMB.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 9:04pm
d