mutakhir

'Kenakan denda paling maksimum'

Oleh Skuad Khas Harian Metro

PERJUANGAN Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melakukan pindaan terhadap Akta Kastam 1967 bagi memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara selama lima tahun kepada penjual rokok sudah berjaya dilaksanakan.

Persoalannya, cukupkah hanya sekadar peruntukan hukuman ataupun denda lebih berat dimiliki agensi itu dalam memerangi sindiket penyeludupan rokok yang memperoleh laba mudah sehingga RM4 bilion setahun.

Umum mengetahui, sindiket penyeludupan rokok bukan sahaja terdiri daripada orang awam sebaliknya turut dilindungi ‘orang dalam’ di agensi berkenaan dalam menjayakan agenda mereka.

Malah, Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri T Subromaniam berkata, bagi memerangi tali barut dalam jabatannya yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan arak dan rokok, pihaknya menubuhkan Cawangan Siasatan Dalaman.

Cawangan itu berperanan memantau salah laku anggota dan pegawai atasan agensi berkenaan selain diberi kuasa untuk melakukan pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 137 Akta Kastam.

Malah, beliau berazam mahu memerangi tali barut dalam jabatannya yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan arak dan rokok dengan menubuhkan Cawangan Siasatan Dalaman.

“Pasukan itu akan memantau pegawai dan anggota yang membuat tugasan di lapangan. Mereka (pasukan) juga akan membuat laporan terus kepada saya berhubung apa sahaja isu salah guna kuasa membabitkan anggota JKDM. Ini antara langkah yang dibuat bagi membersihkan jabatan.

“Selain itu, pasukan itu juga diberi tanggungjawab untuk mendakwa mana-mana anggota mahupun pegawai kastam yang terbabit dalam salah laku berkenaan mengikut Seksyen 137 Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambahnya, penubuhan pasukan khas membabitkan JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dipengerusikan sendiri Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam masa terdekat.

“Task Force ini akan memberi tumpuan kepada pembanterasan sindiket. Kita jangka ia (task force) akan dapat dibentuk selewat-lewatnya Januari nanti,” katanya.

Wartawan Harian Metro melakukan tinjauan pendapat kepada beberapa Ahli Parlimen Malaysia berhubung perkara berkenaan. Berikut adalah reaksi mereka:

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang atau Tian Chua

“Semua jabatan kerajaan sudah diresapi budaya rasuah. Cabaran kita sekarang bagaimana boleh melakukan rombakan (pembersihan) semula dalam pasukan penguatkuasa kita. Kita kena fikir lebih kreatif untuk sediakan pemantauan (anggota penguatkuasa) yang lebih berkesan.

“Sekarang kita ada potensi dengan teknologi canggih yang ada. Kita perlu minimakan pembabitan pegawai dalam urusan import dan eksport dengan mengaplikasikan teknologi yang ada. Ia akan menjadikan segala urusan lebih telus. Kurangnya pembabitan pegawai maka kurangkan risiko berlakunya rasuah,” katanya.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng

"Saya bagi satu contoh, kalau jual dadah hukuman dia mati, tapi orang masih jual lagi. Denda yang tinggi masih ada orang lakukan kesalahan. Cadangan tambahan saya selain meningkatkan denda ialah menukarkan pegawai penguatkuasaan dari satu tempat ke tempat lain selepas bertugas selama enam bulan atau setahun.

"Sebab yang bersekongkol kebiasaannya adalah penguatkuasa, mereka cari keuntungan dan (menjadi) rakan kongsi (penyeludup). Kalau kerajaan boleh tukar mereka yang menjaga mana-mana agensi berkaitan patut tukar setiap enam bulan. Sindiket pun tahu kalau kautim pun, selepas enam bulan mereka akan bertukar," katanya.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen

"Pertama seludup rokok ini isunya ialah kalau kita banteras, yang guna rokok seludup akan kuranglah. Itu penting, rokok menelan kos lebih kurang RM5 bilion setahun untuk hospital kita. Seingat saya RM3 bilion hingga RM4 bilion. Jadi masalah merokok ini menjejaskan kewangan kita.

"Untuk banteras ini kita perlu lakukan dua benda. Yang pertama memastikan penguatkuasaan lebih baik, maknanya kastam dan polis kena kerjasama. Kita kena pastikan tidak ada rasuah dalam kedua-dua badan tersebut. Kedua ialah turun padang untuk jaga pesisir pantai dan pintu masuk negara. Kalau kita banteras penyeludupan, maknanya rokok yang sah (terjual), kita akan dapat dana. Jika tidak, semua akan dapatkan rokok lebih murah.

"Jika dibanteras, kerajaan akan dapat lebih banyak duti eksais antara RM1 bilion hingga RM2 bilion setahun. Yang penting kita fokus untuk orang kurang merokok juga," katanya.

Senator Datuk Dr S Ananthan

"Kalau boleh, kenakan denda paling maksimum kepada mereka yang terlibat kerana bukan saja dapat untung dengan perniagaan begitu, tetapi juga memberi kesan tidak baik kepada kesihatan rakyat secara umum. Kita lihat isu ini seperti tidak bernoktah kerana setiap kali operasi pihak berkuasa, akan ada mereka yang ditangkap bersama ratusan karton rokok.

"Jika denda rendah, ia tidak akan memberi pengajaran kepada mereka apatah lagi sindiket yang mempunyai dana yang besar. Saya sokong jika denda ini dikenakan tanpa sebarang pilih kasih. Jika penjawat awam terbabit, mereka patut dikenakan tindakan juga," katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar

"Sebarang bentuk penyeludupan harus dikenakan denda yang tinggi sebab negara kehilangan sumber cukai yang sepatutnya dikenakan. Tak kira sama ada rokok ataupun barangan lain.

"Dalam konteks ini saya kira sangat wajar, wajib kenakan denda tinggi. Semua orang perlu sambut baik kerana ia akan mengurangkan kegiatan penyeludupan," katanya.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah

"Kita tak boleh bertolak ansur dengan sebarang kegiatan penyeludupan kerana ia jelas merugikan negara. Sekarang ini ia seolah-olah isu yang tidak selesai, sama ada wujud orang dalam yang bersekongkol atau pun kelemahan dalam penguatkuasaan. Denda yang tinggi dan ditambah penguatkuasaan berterusan akan melumpuhkan kegiatan penyeludupan ini.

"Kerajaan juga harus bertindak tegas dengan mereka ini supaya dapat memberi pengajaran kepada sindiket, penjual, pengedar dan sesiapa saja yang terbabit. Denda yang tinggi ini bagus untuk permulaan," katanya.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 10:28pm
d