mutakhir

'Mat skema' terharu menang anugerah

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

GELARAN seperti ‘mat skema’ dan ‘bajet bagus’ antara sindiran sinis sering diterima seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana terlalu aktif berpersatuan.

Bagaimanapun kecekalan Muhammad Ammar Rafiq Ruslan, 24, menerima pelbagai sindiran itu berbaloi apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Utama Tokoh Siswa 2018, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 serta trofi dan sijil pada Malam Anugerah Tokoh Kepimpinan Siswa 2018 (MATKS) ke enam UniSZA di Kuala Nerus, kelmarin.

Ammar Rafiq berkata, dia terharu apabila dipilih sebagai penerima anugerah utama itu.

“Memang tidak mudah untuk menjadi penuntut yang selalu ke hadapan untuk memimpin dan aktif berpersatuan di universiti.

“Jika tidak kuat semangat, seseorang pemimpin itu boleh terdorong untuk meletak jawatan kerana terlalu banyak sindiran sinis yang menyakitkan hati dan melemahkan semangat.

“Bagaimanapun, semua cabaran itu saya anggap seperti asam garam sebagai seorang pemimpin selain memberi pengalaman berguna,” katanya.

Tambahnya, anugerah diterima itu satu pengiktirafan kepadanya yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepemimpinan dengan penglibatan aktiviti di dalam dan luar negara.

“Selepas habis belajar saya bercadang menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus menyumbang pada masyarakat setempat dalam apa jua bidang diperlukan.

“Saya boleh bantu masyarakat melalui pengalaman diperoleh sepanjang aktif berpersatuan dan menuntut di UniSZA,” katanya yang juga Mantan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA.

Menurutnya, dia kini penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi & Dakwah) dan berharap dapat mengumpul alumni UniSZA yang aktif semasa pengajian untuk sama-sama membantu memberi sumbangan kepada masyarakat.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif berkata, MATKS bertujuan memberi pengiktirafan kepada siswa yang bergiat aktif dalam menggerakkan aktiviti di UniSZA.

Beliau berkata, MATKS akan memberi dorongan kepada pelapis baru supaya mampu menjadi penggerak dan pemimpin berkaliber pada masa hadapan.

“Penganugerahan seperti itu dapat menonjolkan bakat kepemimpinan mahasiswa dalam bidang masing-masing, sekali gus menjadi ikon kepada pelajar yang lain,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Alumni), Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr R Badlishah Ahmad.

Sebanyak 18 anugerah dipertandingkan antaranya Anugerah Khas Sukan, Anugerah Khas Badan Beruniform, Anugerah Khas Sukarelawan, Anugerah Khas Kebudayaan dan Anugerah Khas Keusahawanan.

Setiap pemenang anugerah masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta trofi dan sijil penghargaan.

Disiarkan pada: December 19, 2018 @ 11:33pm
d